Polis Thailand menahan sebuah trak pikap pada satu sekatan jalanraya di Takbai, di sini dan menemui 41 butir bom buatan sendiri yang sedia digunakan pada bila-bila masa serta alatan pengaktif (timer). Turut ditahan adalah pemandu berusia 39 tahun trak berkenaan. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

BANGKOK – Tentera Thailand menyokong dakwaan yang dibuat oleh polis Narathiwat bahawa 41 butir bom yang dirampas di daerah Takbai beberapa hari lalu dihasilkan di Malaysia dan diseludup ke negara ini.

Menurut Komander Tentera Wilayah 4, Lt Jen Piyawat Nakwanich, bom buatan sendiri itu akan digunakan oleh militan untuk melancarkan serangan selepas bulan Ramadan.

“Hasil siasatan, kami mendapati bom itu diseludup dari Malaysia, tetapi kami perlu menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada ia diseludup dalam bentuk lengkap atau sebahagian dan kemudian dipasang semula di negara ini,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Jen Piyawat, pegawai tertinggi tentera Thailand di selatan negara itu ditanya mengenai rampasan bom buatan sendiri di pusat pemeriksaan polis di Kampung Saring, Takbai tiga hari lalu. Seorang pemandu trak berusia 39 tahun ditahan.

Turut dirampas ialah alat pemasa bagi bahan peledak dan beberapa peranti komunikasi, yang menurut pegawai Explosive, Ordnance and Disposal (EOD) di tempat kejadian, ia digunakan untuk meletupkan bom itu, yang berat masing-masing 500 gram, dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Piyawat, orang yang diamanahkan oleh Bangkok untuk menumpaskan pergolakan bersenjata di selatan Thailand mengulangi dakwaan Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Manas Sikamat bahawa bom itu dihasilkan di Malaysia, ketika ditemui media tempatan, sehari selepas insiden tersebut.

Menurut beliau, bom tersebut diseludup ke selatan Thailand melalui ‘laluan sempadan semula jadi’ dengan kebanyakan membuat spekulasi bahawa penyeludup menggunakan Sungai Golok yang sempit, sungai pemisah antara dua negara, untuk membawa masuk bahan letupan itu.

Sungai Golok yang sinonim dengan kegiatan penyeludupan bertindak sebagai sempadan semula jadi, dengan bandar Sungai Golok di wilayah Narathiwat dan pekan Rantau Panjang di Kelantan.

Penyiasat berkata, trak pikap terbabit dalam perjalanan dari Sungai Golok untuk menghantar bahan letupan itu kepada seorang individu tidak dikenali di Ranget, Narathiwat apabila ditahan di Takbai.

Jeneral tentera itu juga berkata, pihak berkuasa telah meningkatkan usaha memburu seorang suspek yang dikaitkan dengan rampasan bom buatan sendiri itu. Suspek sempat bolos dan dipercayai bersembunyi bersama rakan-rakannya.

Walaupun pihak tentera telah merampas sejumlah besar bom buatan sendiri di Narathiwat, Piyawat terus yakin bahawa situasi bertambah baik di selatan Thailand.

Beliau berkata, situasi pada keseluruhannya telah bertambah baik dengan ketara sambil menarik perhatian bahawa daripada 10 kes keganasan di selatan Thailand, hanya beberapa kes adalah berkaitan konflik bersenjata yang berlarutan sekarang sementara yang lain disebabkan konflik peribadi.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Deep South Watch (DSW) yang memantau keadaan di selatan Thailand, kira-kira 7,000 orang telah menjadi korban sejak 2004 akibat konflik bersenjata di wilayah-wilayah di selatan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast