KUALA LUMPUR – Keputusan rasmi pemilihan tiga sayap UMNO – Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat akan diumumkan jam 7 petang nanti.
Menurut jurucakap parti itu, semua keputusan akan diumumkan di dewan di Tingkat 4, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Satu sidang media akan dibuat pada jam 7 petang bagi mengumumkan secara rasmi berhubung keputusan sayap parti,” katanya di ruang legar Menara Dato’ Onn.
Dalam pada itu, puluhan media membanjiri perkarangan Menara Dato’ Onn bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pemilihan di peringkat sayap UMNO itu.
Para pengamal media mula berkumpul di sini jam 3 petang selepas mendapat maklumat bahawa Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki akan membuat satu sidang media hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak kelihatan dan sidang media yang dilaporkan berlangsung pada jam 4.30 petang tadi tidak diadakan.
Buat masa ini keputusan untuk Ketua Pergerakan Wanita UMNO sahaja yang belum diketahui baik secara rasmi atau pun tidak.
Asyraf dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baharu bagi penggal 2018-2021.
Beliau menewaskan pencabarnya selepas mendapat 73 undi, menewaskan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dan Datuk Seri Jamal Yunos.
Manakala Datuk Zahida Zarik Khan turut diumumkan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. -MalaysiaGazette