PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, parti itu merancang untuk melebarkan sayapnya ke Sarawak pada masa depan.
Beliau bagaimanapun menjelaskan rancangan tersebut masih dalam perbincangan awal di peringkat pimpinan tertinggi parti.
Ujar beliau, PPBM wajar ke Sarawak kerana semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah lama bertapak di sana.
“Pendapat kita mungkin akan pergi ke Sarawak tetapi belum membuat kata putus kerana parti lain sudah ada ada di sana dan PPBM tidak ada.
“Selain itu, parti politik Sarawak pada masa ini sudah meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk satu gabungan.
“Jadi PPBM menerima banyak permintaan untuk pergi ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Dalam pada itu, Mahathir memberi jaminan PPBM tidak akan mengembangkan pengaruhnya di Sabah kerana sudah terdapat Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.
Beliau menyifatkan Warisan sebagai parti sahabat kepada PPBM. – MalaysiaGazette