KUALA LUMPUR – Alasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan medianya konon ada dalam kalangan wartawan dan pegawai kedutaan China tidak faham, tidak boleh diterima.
Ini kerana, sebelum Guan Eng menjadi menteri, ramai wartawan asing termasuk dari akhbar Cina dan Tamil yang membuat liputan boleh menghasilkan berita dengan baik, walaupun menteri bukan Melayu sebelum ini bercakap dalam bahasa Melayu.
Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh, syarat wajib bagi seseorang wartawan tempatan ialah mesti faham bahasa Melayu, manakala pegawai Kedutaan China pula harus mempunyai penterjemah.
“Kalau Guan Eng setia kepada negara ini, beliau tidak patut sama sekali bimbang akan perkara ini. Semua wartawan tempatan mesti faham bahasa Melayu. Jika tidak, masakan mereka boleh menjadi wartawan.
“Bagi pegawai kedutaan pula, mereka harus mempunyai penterjemah atau juru bahasa masing masing. Itulah amalan diplomasi antarabangsa, atau pun Guan Eng sengaja menguji sejauh mana kealpaan orang Melayu mengenai bahasa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Beliau mengulas kontroversi yang dicetuskan Menteri Kewangan itu apabila mengeluarkan kenyataan media dalam tiga bahasa termasuk bahasa Mandarin.
Guan Eng dalam maklum balasnya dilaporkan cuba mempertahankan tindakannya itu dengan berkata, ia merujuk Perlembagaan Persekutuan dan mendakwa penggunaan bahasa itu melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.
Menurut Sirajuddin, Perkasa hairan dan tercengang apakah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah lupa dia rakyat Malaysia dan buta perlembagaan yang dengan jelas menyebut bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan?
“Apakah sebagai menteri, yang pernah menjadi Ketua Menteri pun, beliau tidak tahu Akta Bahasa Kebangsaan jelas menyebut bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi?
“Sayugia disebutkan di sini, mutakhir ini, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pemimpin kian luntur.
“Oleh itu, Perkasa mengingatkan menteri berkenaan dan juga pemimpin lain hendaklah menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi,” katanya. – MalaysiaGazette