Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Jika semalam beberapa pemimpin UMNO dengan tegas menyuarakan bantahan terhadap tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan, hari ini perkara sama turut dilakukan oleh netizen.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook, seorang pengguna laman sosial berkenaan Mohd Noor Izzat Mohd Noor Johari berkata, sikap Guan Eng itu telah menampakkan kepada pihak luar terhadap kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan apabila ada menteri yang tidak mendukung Perlembagaan.

Menerusi video yang ditujukan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Noor Izzat yang menggunakan nama profil Cikgu Izzat mendakwa, Guan Eng telah memanipulasi penggunaan Bahasa Melayu.

“YB (Yang Berhormat) nak gunakan bahasa Cina atau bahasa India atau bahasa Kadazan sekalipun, kami tidak kisah. Kami ingin tegaskan, kami tidak kisah.

“Kerana inilah keharmonian dalam negara. Tetapi, dalam isu sebagai pentadbir negara, anda (Guan Eng) sebagai pentadbir, salah seorang menteri perlu menunjukkan contoh kepada negara luar bahawa anda menjunjung Perlembagaan Malaysia.

“Apa yang anda buat adalah lebih kepada retorik ataupun cubaan anda untuk ‘test market’. Anda silap,” katanya menerusi video berkenaan.

Menurut Izzat, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini memohon kepada rakyat agar diberikan tempoh selama 100 hari bagi melaksanakan janji-janji yang telah dibuat dan peluang itu bukan diberi kosong sebaliknya perlu dimanfaat secara rasional.

“Yang berhormat, Lim Guan Eng. Bahasa kebangsaan adalah bahasa Malaysia, dan bahasa kebangsaan itu adalah bahasa Melayu.

“Anda tak perlu cerita tentang bahasa lain dan bukan kami orang Melayu nak menafikan bahasa lain. Saya sendiri berdarah Cina. Saya sendiri bangga ada darah Cina. Sama juga dengan adik-adik saya yang belajar bahasa Mandarin dan ramai Melayu belajar bahasa Mandarin.

“Tapi hari ini, YB Lim Guan Eng jangan menyalahgunakan kuasa anda dengan menggunakan bahasa Cina dalam kenyataan rasmi anda sebagai seorang menteri dalam kerajaan Malaysia,” ujarnya lagi.

Izzat berkata, Guan Eng sepatutnya memberikan fokus terhadap langkah memperbetulkan kerajaan daripada parti pemerintah terdahulu.

Beliau turut mengingatkan agar Guan Eng menggunakan Bahasa Malayu pada setiap urusan kerajaan sekiranya beliau benar-benar seorang warga negara Malaysia.

Dalam pada itu, Izzat turut mencabar Guan Eng untuk berdebat dengannya berhubung bahasa dan jati diri sebagai anak Malaysia.

Katanya, tujuan debat itu bukanlah kerana emosi sebaliknya sebagai satu semangat yang kecil.

“Saya nak bagitahu Lim Guan Eng, rakyat sedang memerhati anda. Jangan ingat apa yang anda buat itu semuanya betul.

“Jangan cabar dan jangan salah langkah,” katanya. – MalaysiaGazette