Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengembalikan kredibiliti dan integriti parti untuk mengembalikan kepercayaan semula rakyat khususnya golongan muda.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan tersebut mesti diambil kerana penolakan rakyat terhadap parti itu kerana UMNO sudah kehilangan dua faktor tersebut.

“Salah satu faktor rakyat tolak UMNO atau Barisan Nasional kerana parti semakin hilang kredibiliti dan integriti. Parti ini maksudnya pemimpin.

“Apabila parti kehilangan dua perkara penting ini, anda buat kerja macam mana pun, anda servis rakyat macam mana pun, tetapi kalau mereka tengok BN dan UMNO sebagai wadah perjuangan tidak dapat mengamalkan sistem parti yang telus, persoalan tidak boleh dijawab, kita hilang kredibiliti,” kata calon naib presiden itu.

Katanya, dalam pilihan raya pengundi bukan sahaja berada di kawasan tetapi ada yang berada di luar kawasan.

Mereka yang berada di luar kawasan tidak ambil peduli perkhidmatan terbaik oleh wakil rakyat sebaliknya golongan ini melihat kepada isu-isu nasional yang lebih besar.

Jelasnya, di Parlimen Titiwangsa sahaja terdapat 61,000 pengundi, yang mana 30,000 sahaja yang berada dalam kawasan dan bakinya menetap di luar kawasan.

“Apabila 31,000 pengundi luar ini balik kawasan untuk mengundi, mereka tidak tengok lagi wakil rakyat. Mereka tidak mahu tengok apa yang wakil rakyat sudah buat tetapi mereka melihat parti secara keseluruhan,” tambah beliau.

Dalam usaha memulihkan UMNO, Johari berkata, parti itu mesti bersedia untuk lebih terbuka kepada ahli-ahlinya dan rakyat.

Selain itu, pemimpin-pemimpin UMNO mesti membawa budaya pengorbanan yang mencakupi masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit dalam perjuangan parti.

“Kalau kita boleh membawa budaya pengorbanan dalam perjuangan UMNO, kita tidak akan cerita masuk politik untuk mendapatkan projek, mencari duit.

“Kalau kita bawa elemen pengorbanan dalam perjuangan, isu cari kekayaan tidak akan wujud lagi dalam UMNO sebab ia berkaitan dengan integriti dan kredibiliti,” tegas Johari.

Jelasnya, di negara maju konsep kepimpinan tidak boleh disebabkan negatif dari segi kedudukan kewangan ia merupakan titik tolak kepada mendapatkan sumbangan dan mencari duit.

Lantaran itu, sistem politik UMNO juga kena berubah kepada pemilihan pemimpin yang berkebolehan dan bukan ada kena mengena dengan isu duit. – MalaysiaGazette