r. Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan status Klinik 1Malaysia yang akan ditukar nama kepada Klinik Komuniti di Kementerian Kesihatan, Blok E7, Presint 1, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 27 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Klinik 1Malaysia ditukar nama kepada Klinik Komuniti sebagai langkah penjenamaan semula.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penukaran nama klinik tersebut sejajar dengan sasaran kementerian untuk menjadikan komuniti sebagai matlamat dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Malah, klinik tersebut akan dinaik taraf dari segi penambahbaikan struktur bagi memberi keselesaan kepada petugas dan juga pesakit yang berkunjung di klinik itu.

“Dari sudut menambah baik kementerian akan menaik taraf klinik ini sebagai sebuah klinik yang sesuai dan memenuhi kriteria klinik komuniti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas beliau, klinik berkenaan akan diluaskan kepada 1,400 kaki persegi untuk memberi ruang yang selesa kepada pegawai perubatan serta farmasi.

Malah, sekiranya klinik yang ada tidak memenuhi kriteria iaitu kurang dikunjungi ia akan ditutup, bergantung kepada demografi dan lokasi klinik itu dibangunkan.

Katanya, klinik tersebut perlu dikunjungi lebih 50 pesakit setiap hari.

“Sebagai rumusan, kementerian akan mengkaji semula operasi Klinik 1Malaysia yang diubah ke klinik Komuniti mengikut lokasi dan keberkesanan perkhidmatan,” ujarnya

Dalam pada itu beliau berkata, kakitangan yang berkhidmat di Klinik 1Malaysia pada ketika ini tidak perlu bimbang akan dibuang kerja kerana penukaran nama itu tidak akan menjejaskan kerjaya mereka.

Katanya, kakitangan tersebut akan kekal bertugas di Klinik Komuniti dibawah Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette