Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Abdullah Ya'kub mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri di Dewan Undangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kota Darulnaim hari ini --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Datuk Abdullah Ya’akub dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini bagi penggal kedua berturut-turut.

Pelantikan beliau dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan disokong oleh Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Turut dicadangkan adalah ADUN Bukit Panau Datuk Abdul Fattah Mahmood sebagai Timbalan Speaker DUN Kelantan.

Abdullah bagaimanapun bukan seorang ADUN, namun Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan membenarkan seorang ADUN tambahan dilantik bagi menjalankan tugas sebagai seorang Speaker DUN.

Selepas pelantikan Speaker dan Timbalannya, kesemua 45 ADUN kemudian mengangkat sumpah dan menandatangani watikah sumpah setia di hadapan Abdullah.

Majlis angkat sumpah itu membabitkan 37 ADUN daripada PAS dan lapan ADUN Barisan Nasional (BN).

Persidangan pertama DUN Kelantan bagi penggal ke-14 turut bersetuju melantik bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Asmak Husin, 40, sebagai Anggota Dewan Negara bagi mewakili Kelantan di Parlimen bermula 1 Julai ini bagi tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita selepas persidangan berakhir berkata beliau mengharapkan agar suara daripada DUN Kelantan dapat didengari dan diambil perhatian oleh kerajaan persekutuan memandangkan tiada wakil daripada Pakatan Harapan yang menang bertanding sebagai ADUN di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Abdullah Ya’kub mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri di Dewan Undangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kota Darulnaim hari ini

“Kita mengharapkan walaupun tiada wakil daripada Pakatan Harapan, suara-suara kita di dewan ini yang menyentuh tentang kepentingan dan kesejahteraan rakyat Kelantan dapat diambil perhatian dan diambil maklum oleh kerajaan persekutuan.

“Saya juga berharap semua ADUN sama ada daripada kerajaan ataupun pembangkang dapat mengambil bahagian dalam perbahasan untuk kita membela khususnya rakyat Kelantan,” katanya.

Pada PRU14, PAS melebarkan jumlah kerusi DUN yang dimenangi kepada 37 daripada 45 kerusi, berbanding 32 pada PRU13.

Parti lain yang bertanding seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), serta Amanah daripada Pakatan Harapan serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas gagal mendapat sebarang kerusi.

Ia sekali gus menyaksikan tiada wakil rakyat sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen daripada Pakatan Harapan yang kini membentuk kerajaan persekutuan, di negeri ini.– BERNAMA