Mohamad Fuzi Harun pada sidang media di Bukit Aman,

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini dikatakan berada di United Kingdom.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, pihaknya sudah berhubung dengan Interpol berhubung dengan perkara ini dan notis ‘merah’ telah dikeluarkan oleh pihak di sana.

“Kita dah minta notis merah kepada Interpol. Segala tindakan penuh, kita akan ambil sekiranya beliau pulang kembali ke tanahair.

“Saya juga sedia maklum Musa Aman sendiri telah mengeluarkan kenyataan tentang dirinya baru-baru ini.

“Apapun, semuanya akan mengikut lunas undang-undang. Tindakan sewajarnya akan diambil selepas beliau pulang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kenyataan media oleh Musa kelmarin, beliau memaklumkan berada di United Kingdom bagi mendapatkan rawatan perubatan, selain alasan peribadi.

Musa berkata, beliau telah meninggalkan Malaysia secara sah.

Malah, bekas Ketua Menteri Sabah itu secara terbuka menyatakan sedia membantu siasatan polis dan mendakwa telah menjelaskan perkara itu kepada Pesuruhjaya Polis Sabah.

Mohamad Fuzi turut memaklumkan polis masih memburu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal dikatakan telah ditahan beberapa hari lalu.

“Ada beberapa dakwaan yang mengatakan Jamal kini berada di Batam dan Riau, saya sendiri telah bercakap dengan pihak berkuasa di sana, mereka akan bekerjasama dengan kita dalam perkara ini.

“Setakat ini, melalui maklumat yang saya terima, Jamal tidak ada di lokasi berkenaan tetapi pihak berkuasa Indonesia akan terus memantau dan memaklumkan pada kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette