SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak ada halangan untuk memberi kerjasama kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha membangunkan semula kawasan Highland Towers yang terbiar selepas tragedi runtuhan pada tahun 1993.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berbincang dengan kementerian itu berhubung apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak dapat membuat perincian mengenai kerjasama itu kerana baharu dimaklumkan oleh kementerian itu mengenai cadangan tersebut.

“Sebagai menteri besar, saya mengalu-alukan sebarang inisiatif dari Kerajaan Persekutuan yang berhasrat memajukan dan memakmurkan kawasan itu demi negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan di Seksyen 15 di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kementeriannya merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium Highland Towers yang runtuh 25 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan itu hanya boleh dilaksanakan setelah tanah berkenaan diambil alih dan segala isu berkaitan perundangan, tanah dan pembeli kondominium itu berjaya diselesaikan.

Menurut Amirudin, Haniza akan berhubung terus dengan KPKT bagi membincangkan secara lanjut penglibatan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette