Recall Bill Azalina Othman Said anti-party hopping recall election
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Pembekuan akaun UMNO oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan didakwa melumpuhkan kerja-kerja pentadbiran UMNO seluruh negara.

Malah, tindakan itu juga dikhuatiri akan memberi kesan kepada kakitangan UMNO di seluruh negara sekiranya terus berkuatkuasa tanpa penyelesaian segera, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Pembekuan akaun parti politik yang sah dilihat sebagai sebagai satu sejarah.

“Ini kerana sepanjang pentadbiran Kerajaan UMNO/BN tidak ada akaun parti politik yang sah dibekukan kerana kerajaan UMNO meraikan kebebasan berpolitik dengan semangat demokrasi di Negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Justeru kata beliau, tindakan pembekuan akaun UMNO juga menyekat aktiviti-aktiviti parti BN itu di kawasan Parlimen masing-masing yang secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat secara umum.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak secara bona fide bagi membuktikan siasatan yang dibuat adalah telus, bebas, berkecuali dan berlandaskan prinsip undang-undang tanpa ada campur tangan politik termasuk kerajaan.

Beliau pada masa yang sama mendesak Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 atau mana-mana undang-undang bagi tujuan menyekat hak kebebasan berpolitik apatah lagi menjelang pemilihan UMNO yang akan berlangsung esok.

Calon Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi UMNO itu juga menegaskan bahawa pengubahan wang haram adalah proses penukaran wang yang dijana daripada kegiatan haram dan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan sebegini hendaklah berhadapan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya dan perkara ini tidak boleh dikompromi.

“Walau bagaimanapun, pembekuan akaun UMNO seolah-olah terlibat dalam aktiviti sebegini tidak dapat diterima sama sekali.

“Pembekuan sebenarnya hanyalah satu prosedur untuk pengumpulan keterangan semata-mata, dan ianya adalah satu proses penyiasatan.

“Saya percaya kepimpinan parti akan mengambil langkah segera termasuk memohon satu perintah deklarasi di mahkamah bahawa perintah pembekuan tersebut adalah salah (unlawful wrong), mala fide, tidak suci hati (good faith) dan tidak berkuat kuasa.

“Harus diingat bahawa buat masa ini kita tidak mempunyai Akta Dana Politik yang memantau kemasukan dana ke akaun parti-parti politik,” tegas beliau.- MalaysiaGazette