Zila Seeron

KUALA LUMPUR – Penyanyi Zila Seeron tampil memberi penjelasan berikutan dakwaan terlibat dengan kes penipuan pakej percutian di sebuah hotel mewah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menerusi Instagramnya, Zila atau nama sebenarnya Nur Azilah Seeron, 29, memberitahu dia mempromosi pakej tersebut di laman sosial milikinya selepas dibayar untuk membuat ulasan mengenai produk berkenaan.

“Assalamualaikum, dengan rasa rendah hati dan memohon maaf. Saya ingin membuat sedikit pencerahan berhubung kes penipuan pembelian voucher percutian yang membabitkan nama baik saya.

“Saya cuma mendapat upah untuk membuat iklan mengenai voucher tersebut dan dijanjikan komisyen setiap pembelian voucher tersebut dari seorang kenalan bernama Nadzreen,” ujarnya.

Bekas isteri pelawak Along Cham ini turut melampirkan salinan laporan polis yang dibuat pada 15 April dan 21 Mei lalu di Balai Polis Petaling Jaya.alt Zila2alt Zila2

Menerusi laporan tersebut, Zila berkata dia yang menjadi orang tengah dalam penjualan pakej percutian dan penginapan sebuah hotel tidak mengetahui berlaku penipuan dalam urusan perniagaan tersebut.

Dia juga menerima ugutan daripada individu tidak dikenali yang mengancam keselamatan diri dan keluarganya jika tidak membayar wang berjumlah RM5,380.

Tambahnya, dia sudah cuba menghubungi wanita yang bertanggungjawab terhadap kes berkenaan, namun tidak berjaya.

Sementara itu, Zila turut memohon maaf atas salah faham yang berlaku sehingga menjadi kesulitan kepada banyak pihak.

“Maafkan sekiranya ada sebarang salah faham yang berlaku tujuan memuat naik status ini adalah untuk membersihkan nama baik saya,” katanya. – MalaysiaGazette