Noraini Ahmad.
Exco Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO akan berbincang dengan pasukan undang-undang parti berkenaan bagi menangani isu ahli-ahli Parlimen yang keluar parti supaya ia tidak berulang lagi.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, tindakan keluar parti dengan alasan hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan adalah satu pengkhianatan kepada rakyat yang telah mengundi mereka.

“Kepercayaan rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk seseorang individu melunaskan kehendak politik peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini menyatakan kekecewaannya dengan tindakan tiga ahli Parlimen UMNO yang keluar parti dan mengumumkan menjadi ahli Parlimen Bebas bermula dengan Datuk Dr. Noor Azmi (Bagan Serai), Datuk Syed Husin (Bukit Gantang) dan yang terbaharu Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO.

Noraini juga mencabar ahli-ahli Parlimen berkenaan melepaskan jawatan masing-masing supaya pilihanraya kecil dapat diadakan bagi membolehkan rakyat memilih wakil rakyat dan parti yang mereka sukai.

Tegasnya, kejayaan ahli-ahli Parlimen berkenaan memenangi kerusi masing-masing bukan usaha individu semata-mata sebaliknya hasil kerja keras jentera parti dan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Beliau yang kecewa dengan senario tersebut menegaskan, kepercayaan rakyat mesti dihormati dan mereka perlu diberi hak untuk memilih wakil rakyat yang mewakili parti yang dipercayai.

“Keputusan dari Mas Ermieyati amat mengecewakan kerana beliau merupakan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang bertaraf Naib Presiden UMNO.

Keputusan ketiga-tiga wakil rakyat ini terutamanya Mas Ermieyati untuk menjadi wakil rakyat bebas ini ternyata telah mengkhianati kepercayaan pengundi-pengundi yang telah memilih mereka yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional.

Mas Ermieyati juga dengan mudah melupakan kerja kuat seluruh jentera Jalinan Rakyat dan Barisan Nasional yang bertungkus lumus semasa kempen PRU-14 sehingga beliau berjaya menang kerusi Parlimen Masjid Tanah,” katanya lagi.

Tambah beliau, sekiranya ada sebarang masalah atau isu berhubung kepimpinan UMNO, mereka patut mengadakan perbincangan secara baik sama ada di peringkat bawahan sehingga peringkat tertinggi dan bukannya menjadikan perkara tersebut sebagai alasan untuk keluar parti.- MalaysiaGazette