Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bergambar bersama belia peladang dan tetamu yang hadir pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Belia Peladang di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 JULAI 2018.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bergambar bersama belia peladang dan tetamu yang hadir pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Belia Peladang di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bakal menganjurkan forum khas peringkat nasional bagi memberi peluang kepada para petani muda berinteraksi terus dengan pihaknya

Ia dalam usaha menambah baik produk asas tani tempatan, kata menterinya, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, forum yang lebih berbentuk dialog dua hala bakal memberi peluang kepada pengusaha produk berasas pertanian dan penternakan untuk berkongsi idea dan cadangan untuk mengembangkan produk mereka secara meluas.

“Ia akan dilaksanakan sekarang, mungkin dalam dua atau tiga bulan akan datang kita boleh buat mesyuarat pertama untuk bincangkan tentang struktur jawatankuasa.

“Forum jadi satu wadah ataupun wasilah untuk mereka memudahcarakan di antara kumpulan ini (petani muda) dengan pihak kementerian.

“Saya harapkan dengan wujudnya forum kebangsaan ini banyak lagi agenda besar dalam bidang pertanian akan dapat mudah carakan daripada isu koperasi, pemasaran, produk, import dan eksport,” katanya pada sidang media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perjumpaan Khas bersama hampir 200 orang Belia Peladang di Auditorium Tun Ahmad Sarji di Menara LLP.

Salahuddin juga berkata, forum nasional itu penting untuk menarik minat ramai petani muda yang berjaya dalam sektor pertanian untuk berkongsi pengalaman dan bekerjasama dengan kementerian untuk diketengahkan.

“Kebanyakan mereka adalah wira-wira tidak didendangkan, di mana mereka berjaya mengusahakan perniagaan tani dan insya-Allah kumpulan-kumpulan ini akan seterusnya dapat dipantau dan diberikan perhatian oleh pihak kementerian.

“Dengan adanya dialog-dialog seperti ini, kementerian akan meluaskan peluang ini menggunakan pendekatan seperti ini di setiap sektor, industri yang terlibat dalam kementerian pertanian,” katanya.

Katanya lagi, forum ini juga dapat mewujudkan hubungan yang lebih konstruktif antara kementerian dengan pihak berkepentingan dalam industri pertanian ini.

“Kita janjikan supaya segala khazanah yang terdapat sektor ini akan dapat dinikmati oleh semua pihak berkepentingan dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette