Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Situasi kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan berlaku di Sarawak dipantau dengan rapi di peringkat Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak lima kes dilaporkan di Sarawak dan semuanya adalah kes sporadik, iaitu tiada wabak JE dilaporkan di negeri itu.

Katanya, bahagian yang terlibat adalah masing-masing satu kes di Samarahan, Lawas, Julau, Miri dan Sri Aman.

“JE disebabkan oleh virus flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephalitis’ dan merupakan sejenis penyakit bawaan vektor iaitu nyamuk.

“JE adalah endemik (penyakit yang sentiasa terdapat di kawasan tertentu) di semua negara di Asia termasuk Malaysia.

“Program Imunisasi JE diperkenalkan pada tahun 2002 di negeri Sarawak kerana kejadian kes JE di Sarawak yang tinggi, iaitu 55 kes pada tahun 1999 dengan kadar insiden 2.61 per 100,000 populasi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada artikel The Borneo Post bertajuk ‘Health Dept confirms JE endemic in S’wak, urges caution’ dan Malaymail bertajuk ‘Sarawak confirms Japanese Encephalitis now endemic in state, sounds alarm’ pada 29 Jun lalu.

Menurut Dr Noor Hisham, dua tahun selepas program Immunisasi dilaksanakan di Sarawak jumlah kes JE dilaporkan berkurangan kepada 22 kes dan selepas 16 tahun program itu dijalankan, jumlah kes terus berkurangan kepada 10 kes pada tahun 2017.

Katanya, mengikut kajian dilakukan oleh Wong et al. 2008, sejak Program Imunisasi JE di Sarawak, kadar insiden JE bagi kumpulan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun berkurangan daripada 9.8 kes per 100,000 populasi kepada 4.3 kes per 100,000 populasi.

“Ini jelas menunjukkan kejayaan pelaksanaan program ini di Sarawak dan kita menyarankan setiap ibu bapa memastikan anak mereka mendapatkan suntikan imunisasi JE pada umur sembilan bulan dan 21 bulan seperti yang ditetapkan dalam jadual imunisasi.

“Masyarakat setempat dinasihatkan juga supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda dan gejala JE seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan.

“Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan repelen dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko digigit nyamuk dan seterusnya jangkitan JE,” katanya. – MalaysiaGazette