Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih mencari 27 pemilik unit kondominium mewah Highland Towers yang runtuh untuk memudahkan kerajaan mendapat persetujuan sebelum membangunkan semula kawasan itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, berdasarkan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Highland Towers pada 27 Jun lalu bersama beberapa agensinya berjaya mengenal pasti seramai 111 daripada 138 pemilik hartanah mewah itu.

“Setakat ini, maklumat yang kita peroleh ialah terdapat 138 pemilik yang melibatkan tiga blok di situ, cuma satu blok sajhaja yang runtuh, dua blok lagi masih ada.

“Syarat untuk kita robohkan bangunan itu kita kena dapat persetujuan daripada semua pemilik unit,” katanya pada sidang media hari ini.

Minggu lalu, Zuraida mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers berkuat kuasa 26 Jun lalu dan ia akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Jawatankuasa baharu itu akan memulakan mesyuarat pertamanya pada 27 Jun lalu dengan menemui pelbagai agensi berkaitan yang terlibat dengan pembangunan kondominium mewah yang runtuh itu.

Pembentukan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Tower yang diumumkan Zuraida sebelum ini bagi mengkaji semula, menyiasat dan membuat pelan tindakan cadangan pembangunan semula tapak kondominium Highland Tower yang terbiar itu.

Zuraida juga berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu turut menemukan pihak pemaju yang bertanggungjawab dalam pembinaan kondominium mewah itu.

“Mereka telah mengenal pasti pemaju projek pembangunan Highland Tower iaitu Regal Field Development Sdn Bhd yang telah datang bertemu dan bermesyuarat dengan Datuk Seri KSU,” katanya.

Zuraida juga menggesa mana-mana pihak mempunyai maklumat tentang 27 pemilik yang masih tidak dapat dikenal pasti pihaknya agar tampil membantu menyelesaikan isu tapak hartanah terbengkalai itu sejak 25 tahun lalu.

“Kita sudah minta pihak Jabatan Insolvensi untuk dapatkan maklumat berhubung dengan 27 pemilik unit ini  dan kita bagi deadline sehingga 16 Julai ini

“Sesiapa yang ada maklumat berhubung dengan pemilik 27 unit ini mohon tampil dan rujuk kepada Jabatan Insolvensi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette