Noor Jan yang pernah mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini membebaskan Noorjan Tuah atas dakwaan menyamar Sultan Melaka.

Peguamnya, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Noorjan Tuah telah dituduh dengan pertuduhan di bawah seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai ‘Sultan Melaka’ dengan cara mengelirukan orang ramai dan mengadakan majlis istiadat pengurniaan pingat dan berpakaian seperti Sultan Melaka.

Seramai 12 orang saksi di panggil pihak pendakwaan yang terdiri daripada pegawai polis, pakar sejarah dan saksi-saksi yang hadir ke majlis istiadat berkenaan.

“Selepas mendengar keterangan kesemua saksi pendakwaan dan selepas membaca hujahan bertulis kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Sesyen Melaka memutuskan Pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie dan oleh itu tertuduh dilepas dan di bebaskan dari pertuduhan,” ujarnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, menurut Mohd. Khairul Azam, ia menunjukkan bukan menjadi satu kesalahan kepada anak guamnya memberikan pingat kebesaran kepada sesiapa sahaja.

“Bukan menjadi satu kesalahan untuk tertuduh mengadakan satu majlis istiadat dan tertuduh mengenakan busana ibarat seorang sultan,” ujarnya lagi.

Kepada persoalan sama ada Noorjan Sultan Melaka yang sah atau tidak, perkara itu tidak timbul kerana perbicaraan yang dibuat bukan berkaitan dengan dakwaan itu, kata Mohd. Khairul.

Beberapa tahun lalu, Noorjan mengemparkan orang ramai kerana mendakwa dirinya waris Sultan Melaka dan mendakwa diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Noorjan juga mengadakan majlis istiadat seperti penganugerahan pingat serta ‘menarik’ barang lama di Sungai Duyung.- MalaysiaGazette