Azih Muda beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mewujudkan kembali koperasi kredit yang pernah dibekukan oleh kerajaan terdahulu.

Langkah itu perlu dilakukan dalam usaha membantu penjawat awam membuat tabungan dan berjimat cermat, serta mengelak daripada masalah tidak cukup gaji dalam kalangan mereka, kata presidennya Datuk Azih Muda.

Menurut beliau, meskipun terdapat banyak koperasi kredit ketika ini namun, langkah menerapkan budaya menyimpan dalam kalangan penjawat awam perlu diwujudkan.

“Kerajaan hari ini mengamalkan berjimat cermat dan kami pun nak penjawat-penjawat awam ini menanamkan budaya sama.

“Menyimpan di bank ini tidak selamat kerana simpan pagi petang ambil. Simpanan paling selamat ialah melalui koperasi kredit, kerana melakukan simpanan dikoperasi ini mereka hanya boleh keluarkan selepas mereka bersara nanti atau setelah berhenti daripada perkhidmatan awam,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri di sini hari ini.

Bagi tujuan itu Azih berkata, pihaknya menggesa agar kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengkaji semula langkah pembekuan koperasi yang pernah berlaku sebelum ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Azih berkata, penubuhan koperasi berkenaan juga bagi mengelak penjawat awam mengamalkan sikap membuat pinjaman bank yang sebenarnya memberi bebanan kewangan semula kepada mereka.

Ini kerana, kata beliau, pinjaman dibuat dalam jumlah yang besar,  tidak seperti koperasi sekadar  pinjaman yang diperlukan.

Jelas beliau, pihaknya akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Saifuddin Nasution dalam masa terdekat.

“Cuepacs amat berharap supaya ruang diberikan kepada kami untuk berjumpa dengan menteri bagi memberi penjelasan sekiranya perlu.

“Cadangan ini perlu diberikan pertimbangan yang sewajarnya agar tidak ada lagi sekatan untuk koperasi kredit ditubuhkan.

“Hari ini SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) kata dah tak boleh. Kita nak supaya perkataan tidak boleh itu ditutup, diganti dengan perkataan boleh,” ujarnya. – MalaysiaGazette