Farrah Madihah Othman, 28, dan Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, tidak dapat menahan kesedihan apabila membawa jenazah anak mereka iaitu Adam Rayqal keluar dari perkarangan IPFN HKL pukul 3.00 petang dan dijangka tiba ke negeri pantai timur itu lewat petang ini.
Farrah Madihah Othman, 28, dan Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, tidak dapat menahan kesedihan apabila membawa jenazah anak mereka iaitu Adam Rayqal keluar dari perkarangan IPFN HKL pukul 3.00 petang dan dijangka tiba ke negeri pantai timur itu lewat petang ini.

KUALA LUMPUR – Jenazah Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi lima bulan yang ditemui mati dalam peti sejuk beku rumah pengasuhnya di sini, akan dibawa ke Kuala Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, malam ini.

Jenazah yang selesai dibedah siasat pukul 2.00 petang itu telah dimandi, dikafan dan disolatkan di Surau Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur (IPFN HKL).

Mangsa dibawa keluar oleh ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, dan ayahnya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, menaiki kereta dari perkarangan IPFN HKL pukul 3.00 petang dan dijangka tiba ke negeri pantai timur itu lewat petang ini.

Datuk saudara kepada Allahyarham Adam Hayqal, Abdul Rahim Ismail, 54, ketika ditemui di IPFN HKL menyatakan kesedihan terhadap kematian cucu saudaranya itu.

“Ini semuanya termaktub dengan ketentuan takdir. Namun, bukan sahaja sedih tapi perasaan marah juga turut dirasai ke atas apa yang telah berlaku.

“Tambahan, Adam (mangsa) anak sulung mereka (Sufi dan Farrah) selepas disatukan tahun lepas. Perkara sebegini diluar jangkaan mereka kerana pengasuh (suspek) tidak menunjukkan sebarang tanda negatif. Malah, sering mengemaskini status bayi (Adam) mereka kepada Farrah sepanjang jagaan suspek seminggu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sempat meluangkan masa selama 20 minit bertemu dengan ibu bapa mangsa (Adam Hayqal) di IPFN HKL pukul 2.20 petang.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu turut menyatakan kesedihannya dan mengucapkan tahziah kepada ibu bapa mangsa selain menzahirkan kejadian ini sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Selain Dr Dzulkefly, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan juga mengambil kesempatan ke IPFN HKL pukul 10.45 pagi ini bagi menziarahi keluarga Adam Hayqal.

Adam Rayqal pada awalnya dilapor hilang selepas pengasuhnya mendakwa tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki sebelum siasatan polis terhadap pengasuhnya membawa kepada penemuan mayat bayi berkenaan di kediaman pengasuh terbabit, kira-kira 11 malam tadi di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA