Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan pengasas atau penaung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagaimana dakwaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, menurut Datuk Paduka Ibrahim Ali, pendorong utama penubuhan pertubuhan untuk membela orang Melayu itu ialah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketiga, Allahyarham Tun Ibrahim Ismail.

“Saya mahu perbetulkan dakwaan Najib, Tun Dr Mahathir bukan pengasas dan bukan juga penaung Perkasa. Pendorong utama Perkasa adalah Allahyarham Tun Ibrahim Ismail, mantan Panglima ATM.

“Allahyarham adalah ahli Perkasa bersiri nombor 1 dan Allahyarham Leftenan Jeneral (B), Datuk Jaafar Onn pula ahli Perkasa siri nombor 2,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Najib, yang mendakwa program 1Malaysia yang diperkenalkannya adalah bertujuan menggalakkan keharmonian etnik dan perpaduan negara, berikutan kerenggangan hubungannya dengan Tun Dr Mahathir.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini minggu lalu, yang disiarkan hari ini, Najib dilaporkan berkata, Mahathir yang bersekongkol dengan pergerakan pelampau Melayu, Perkasa ketika itu, merasakan bahawa beliau terlalu ‘menunduk’ kepada masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, kata bekas Presiden UMNO itu, Mahathir yang berperanan sebagai pengasas dan penaung Perkasa telah mengubah rentaknya selepas menyertai Pakatan Harapan (PH) dan menjenamakan dirinya semula sebagai seorang “reformis”.

Ibrahim berkata, penglibatan Dr Mahathir ialah merasmikan pelancaran dan persidangan agung pertama Perkasa pada 2009 bagi menggantikan Sultan Selangor, yang membatalkan keberangkatan baginda pada saat akhir.

“Pada mulanya Perkasa menjemput tuanku Sultan Selangor untuk melancarkan persidangan itu, tetapi baginda membatalkannya pada saat akhir, dan saya meminta Dr Mahathir sebagai ganti untuk melancarkannya,” katanya.

Beliau turut mendedahkan, Najib juga menyokong Perkasa sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara senyap dan turut meluluskan sumbangan kepada pertubuhan itu sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, katanya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan kepada Perkasa.

“Bantuan yang Perkasa terima dari kerajaan hanya setakat 2013 sahaja… jumlah yang diterima pun bukan banyak,” katanya.

Beliau menjelaskan memang Dr Mahathir adalah penyokong kuat Perkasa dan menghadiri banyak program pertubuhan itu terutama Perhimpunan Melayu Perkasa Negeri-Negeri.

“Dia (Dr Mahathir) memang lantang menyokong perjuangan Perkasa terutama agenda Melayu.

“Inilah sejarahnya dan saya sebagai pengasas kekal dengan jati diri perjuangan Alif Ba Ta Perkasa sehingga sekarang,” ujarnya.

Ibrahim sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Perkasa, tetapi ditolak oleh Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pertubuhan itu.

Beliau bagaimanapun, ketika ini bercuti sebagai Presiden Perkasa dan menunggu keputusan rasmi kedudukannya dari ADT yang akan merujuk hasrat peletakan jawatan itu pada Perhimpunan Agung Perkasa Tahun 2018, November ini.

Segala tugas presiden ketika ini dipangku Timbalannya, Datuk Sirajuddin Salleh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast