Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan diminta menyiasat kenaikan harga ubat mengandungi dadah mendadak antara 20 hingga 35 peratus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kenaikan itu didakwa membabitkan ubat paten import dan sebahagian ubat-ubatan generik.

Seorang pengamal farmasi swasta, Abdul Nassir Mat Dani berkata, kenaikan itu menghairankan sedangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan sudah dimansuhkan dan pertukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat semakin baik.

“Sepatutnya harga ubat-ubatan kekal stabil atau mengalami sedikit penurunan tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, yang mana harga ubat paten terus meningkat secara drastik,” katanya yang tidak menolak kemungkinan ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan dalam proses peralihan kuasa kerajaan.

Dakwaan itu dibuat kerana sebahagian besar syarikat farmaseutikal dan pengimport masih dikuasai daripada pentadbiran dahulu.

Abdul Nassir berkata, situasi ini boleh menjejaskan keupayaan rakyat untuk mendapatkan ubat-ubatan mampu beli yang berkualiti untuk merawat penyakit mereka terutama penyakit kronik yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

“Saya memohon Menteri Kesihatan menggunakan kebijaksanaan untuk membantu rakyat sekurang-kurangnya mampu membendung kenaikan harga yang melampau melalui mekanisma kerajaan sedia ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.