Mohd. Ashraf Mustaqim
Mohd. Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Biro Pendidikan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membantah cadangan Pemuda DAP (DAPSY) yang meminta supaya Sijil Tinggi Peljaran malaysia (STPM) dan program Matrikulasi disatukan.

Tindakan itu bertujuan menghapuskan sistem kuota di peringkat pra-universiti atas alasan menghormati hak perlembagaan dalam pendidikan tanpa diskriminasi turut dikritik brio berkenaan.

Berikutan itu, Exco Pendidikan Armada PPBM, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mengingatkan rakan komponen Pakatan Harapan itu bahawa hal berkenaan pertamanya tidak ada kena mengena dengan diskriminasi melibatkan kaum.

“Jangan kerana keghairahan dalam keterbukaan semasa, tingkah laku kita mampu membakar harmoni yang dibina dalam usaha dan kemampuan kita bersama melakar lebih banyak kejayaan dibawah Malaysia Baru.

“Saya bersetuju untuk memperkasakan lagi keadaan pendidikan selain orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia, namun usahlah disentuh ‘Tiang Seri’ yang dibina indah selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Ashraf, Program matrikulasi sememangnya diwujudkan khas untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera.

Namun jelasnya, ia sedikitpun tidak bercanggah dengan mana-mana klausa dalam Perlembagaan Persekutuan, ditambah agenda memperkasakan Melayu dan Bumiputera termasuk pendidikan merupakan salah satu rangkuman ‘Tiang Seri’ yang menjadi sendi dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjadi asas dalam pembinaan negara.

Ujar beliau, hal itu tidak wajar disentuh oleh mana-mana pihak kerana ia dinaungi perlembagaan yang merupakan teras negara dan secara jelas hal ini termasuk dalam artikel 153 berkenaan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera.

“Bercakap mengenai dasar afirmitif, sesungguhnya ia perlu dalam mengimbangi beberapa hal demi pembangunan masyarakat dan negara.

“Malah di negara maju juga banyak dijalankan dasar afirmitif. Namun kebergantungan semata kepada dasar afirmitif adalah tidak sihat, kerana orang Melayu wajar mengambil kesempatan untuk memperkasakan dan memajukan diri mereka bukan sekadar bergantung cuma atas segenap kelebihan selaku pribumi di tanah ini,” ujarnya.

Namun katanya, apapun selaku warga Malaysia, mana-mana pihak yang ingin mempersoalkan perihal ini perlu mempertimbangkan juga asas Rukun Negara yang menjadi nadi kepada perlembagaan.

Jelasnya, rakyat perlu memahami konsep Melayu sebagai ‘Tiang Seri’ dalam membina sebuah rumah yang kukuh.

“Ditekankan ada empat perkara terkait tiang seri ini iaitu Bahasa Melayu, Agama Islam, Keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta Kedudukan Raja-Raja.

“Dianalogikan, jika kita sebagai warga tanah tercinta Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum ini nak menambah baik struktur rumah, tak kira pintu, atap, dinding dan sebagainya.

“Janganlah disentuh tiang seri ini, kerana akan runtuhlah semuanya sekiranya diganggu-gugat. Maka tanggungjawab untuk menjaga rumah ini bukanlah tanggungjawab bangsa Melayu dan Bumiputera semata!

“Tak kira Cina, India, Sikh juga perlu memelihara tiang seri ini agar kita semua mampu kekal berteduh dalam semangat juang yang harmoni,” katanya. – MalaysiaGazette