KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) bercadang untuk menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar sebanyak 25 peratus menjelang hujung tahun ini.
Bagaimanapun, seorang pengguna yang melanggan perkhidmatan itu sejak beberapa tahun lalu merungut kerana ada syarikat jalur lebar memaklumkan penurunan harga itu hanya melibatkan langganan baharu, bukan yang sedia ada.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Adib memberitahu, syarikat berkenaan mula memancing pengguna baharu dengan menawarkan beberapa pelan baharu.
Tetapi katanya, pelan itu hanya untuk pengguna baharu sahaja, manakala bagi pengguna lama harganya dijangka kekal, dengan kelajuan ditambah.
“Terima kasih atas prihatin Menteri KKM (Gobind Singh Deo) dalam menurunkan harga jalur lebar. Pada hari ini, syarikat perkhidmata internet telah umumkan pelan baru, tetapi untuk pengguna baru saja.
“Manakala pengguna lama dijangka harga kekal, tetapi speed (kelajuan) ditambah. Tolong menteri semak perkara ini. Kesian kepada pengguna lama,” katanya menerusi laman Twitternya semalam.
Menjawab rungutan itu, Gobind berkata, beliau akan menyemak perkara itu.
“Terima kasih. Saya akan semak perkara ini. Dalam masa sama, perlu ditekankan bahawa kualiti perkhidmatan jalur kebar ini mesti pada tahap tinggi dan setanding dengan perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat lain di seluruh dunia,” katanya menerusi akaun Twitternya.
Pada 20 Jun lalu, Gobind dilaporkan berkata, harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.
Katanya, penurunan itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu yang berkuatkuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.
Beliau turut menyambut baik langkah Telekom Malaysia Bhd ™ memperkenalkan pelan jalur lebar dan mudah alih termasuk pakej kemasukan unifi yang berpatutan pada kelajuan 30Mbps untuk segmen sasaran B40. – MalaysiaGazette
















