Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Setakat ini belum ada usaha dari Jabatan Perdana Menteri untuk memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), melainkan operasinya dihentikan sementara menunggu penilaian semula bagi memperkasakan fungsinya.

Ini dijelaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, yang menyifatkan berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat apabila menganggap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) hendak memansuhkan jabatan itu.

“Ia dilihat sebagai salah tafsir sebagai memansuhkan Jakim apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kata akan melihat semula fungsi jabatan itu.

“Apabila saya dilantik Timbalan Menteri, saya lihat visi Jakim kepada Jabatan Perdana Menteri. Saya lihat ianya lebih kepada untuk memperkukuhkan sistem pentadbiran dan kuasanya kepada agensi-agensi berkaitan hal ehwal Islam.

“Itu yang saya lihat. Sebab bila kita kata nak kaji semula, orang ramai faham hendak mansuh. Sedangkan, kita tengok ada banyak agensi berkaitan hal ehwal Islam tidak di bawah Jakim,” katanya di Kuantan, hari ini.

Menurut Fuziah, antara yang perlu dikaji semula ialah kuasa Jakim terhadap Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Kehakiman Syariah dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

“Kalau Jakim tidak ada kuasa ke atas ketiga-tiga organisasi ini, macam mana Jakim hendak menjalankan tanggungjawabnya terhadap agama Islam?

“Ini yang kita mahu kaji dan setakat ini ianya belum dimuktamadkan lagi. Ia masih di peringkat perbincangan dan melibatkan kuasa Raja-Raja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast