Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam bersama penyokong Badan BUkan Kerajaan itu membantah pembekuan akaun keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhampiran pusat beli belah, Sogo di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam bersama penyokong Badan BUkan Kerajaan itu membantah pembekuan akaun keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhampiran pusat beli belah, Sogo di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau) dan Gerakan Sivil dan Hak Asasi Manusia Malaysia (CHaRM) membuat laporan polis ke atas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Pemantau, Datuk Lokman Noor Adam berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak polis menyiasat kedua-dua individu tersebut.

Katanya, polis harus menyiasat tindakan Mohd Shukri membekukan akaun bank Junior Saver milik cucu Najib iaitu Adam Razak, 10 bulan, dibawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan hasil aktiviti dikaitkan dengan penipuan wang 1MDB.

“Tindakan Shukri adalah berniat membalas dendam terhadap Najib dan keluarganya berdasarkan apa yang beliau pernah katakan semasa sidang media sewaktu pelantikannya.

“Pembekuan akaun bank Nooryana Najwa Mohd Najib dan Puteri Norlisa Razak yang sedang menerima rawatan kimoterapi kanser peringkat 4 juga dibekukan dan ia tidak munasabah sama sekali.

“Nooryana Najwa membantu membayar wang jaminan RM500,000 pada Rabu lepas manakala Isnin kena bayar separuh lagi daripada jumlah RM1 juta yang diperintahkan mahkamah.

“Jadi sekat akaun ini jelas berniat jahat oleh SPRM yang kemudian menafikan pembekuan dan menuding jari ke arah Bank Negara yang bertanggungjawab,” katanya pada perhimpunan aman malam tadi.

Laporan polis ke atas Shukri dibuat pukul 7.51 petang semalam manakala laporan polis ke atas Mahathir pula dibuat 10.35 pagi semalam.

Beliau mendakwa Shukri memebelakangkan undang-undang dan gagal membuktikan akaun Najib dan akaun keluarganya serta akaun pemimpin UMNO serta penyumbang menerima dana 1MDB.

Dalam pada itu, Lokman juga mahu polis menyiasat Mahathir kerana menuduh Najib telah mencuri RM2.6 bilion dari 1MDB semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, penipuan itu telah menyebabkan rakyat terpedaya dan mengundi kerajaan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.

“Saya lagi terkejut apabila Najib dihadapkan ke mahkamah tiada sama sekali didakwa atas kesalahan mencuri RM2.6 bilion sebaliknya RM42 juta melibatkan SRC.

“Ketika ditanya Peguam Negara yang juga pendakwaraya Tommy Thomas di mahkamah dua hari lepas selepas pertuduhan mengesahkan juga tiada pertuduhan di atas 1MDB atas Najib,” katanya sambil berkata tindakan juga perlu diambil ke atas pemimpin Pakatan Harapan termasuk DAP. – MalaysiaGazette