KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution menyenaraikan kepada umum barangan yang dikatakan telah mengalami penurunan harga selepas sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disifarkan bermula 1 Jun lalu.
Naib Ketuanya, Shahril Sufian berkata, setakat mengeluarkan kenyataan mendakwa dalam tempoh 35 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan GST pada kadar sifar, kira-kira 70 peratus barangan asas telah turun harga, tidak dapat meyakinkan rakyat.
Malah katanya, peratusan itu sangat meragukan kerana mustahil dalam tempoh sebulan lebih separuh barangan dijual pada harga murah.
“Kemukakan bukti. Senaraikan nama barang yang dikatakan telah dijual dengan harga murah itu. Ini bagi memudahkan rakyat membuat rujukan ketika membeli barang keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam, Saifuddin dilaporkan berkata, penurunan hampir 70 peratus barangan keperluan itu dikesan berdasarkan tinjauan kementeriannya antara 1 Jun hingga 30 Jun lalu.
Beliau menjelaskan, tinjauan itu membabitkan 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain di 1,688 premis seluruh negara, dengan penurunan harga antara 0.04 peratus hingga 13 peratus.
Menurut Shahril, beliau meragui kenyataan menteri itu berikutan Pergerakan Pemuda UMNO menerima banyak aduan dan rungutan daripada rakyat yang menyatakan harga barangan tidak mengalami penurunan walaupun GST telah diturunkan kosong peratus.
“Apatah lagi sewaktu tempoh musim perayaan masih lagi berlangsung pada ketika ini harga masih mahal,” katanya. – MalaysiaGazette

















ini budak mentah tak pernah kekedai ke. semua barang dah turun 6% . masih tidur agaknya