KUALA PILAH – Kadar penembusan, kelajuan dan caj internet antara fokus utama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dalam visinya menjadikan masyarakat di negara ini sentiasa berpengetahuan dan mempunyai maklumat yang tepat serta pantas tentang sesuatu isu.

Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith, 44, berkata rakyat mesti diberi maklumat tepat dan berimbang seberapa banyak yang boleh supaya mereka dapat bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Ini (internet) adalah masalah paling besar dalam telekomunikasi dan menerusi beberapa perbincangan bersama menteri (Gobind Singh Deo), memang ini menjadi fokus kementerian untuk dibincangkan bersama-sama pihak telekomunikasi supaya memperbaiki dan melakukan penambahbaikan kepada kemudahan internet sedia ada.

“Sebaik-baiknya kadar caj internet ini menjadi keutamaan dan perlu dikaji supaya kita dapat merangsang serta menarik lebih ramai rakyat menggunakan kemudahan internet bagi mendapat input dan maklumat yang tepat,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.

Anggota Parlimen Kuala Pilah itu berkata KKMM juga akan meneruskan dasar-dasar lama yang dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat seperti Pusat Internet 1Malaysia dengan melakukan penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatannya.

“Walaupun kemudahan tu sudah ada tetapi kita acap kali menerima aduan bahawa kemudahan ini tidak seperti yang diharapkan rakyat.

“Jadi inilah antara penambahbaikan yang KKMM akan buat untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi dapat menyediakan kemudahan yang sesuai dan sepatutnya kepada rakyat supaya matlamat dan visi untuk menjadikan rakyat bermaklumat dapat dicapai dengan sempurna,” katanya.

Menyentuh mengenai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), beliau berkata penggabungan yang dicadangkan antara agensi itu dan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), dilihat relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

“Bernama ini dikenali sebagai agensi penyumbang kepada pemberian- pemberian maklumat yang tepat dan sangat boleh dipercayai, saya percaya itu antara sebab menjadikan kerajaan sedang dalam proses untuk menggabungkan Bernama dan RTM,” katanya.

Eddin Syazlee berkata ia masih pada peringkat kajian, namun berharap perkara tersebut dapat disegerakan supaya rakyat menikmati faedahnya. — BERNAMA