Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengutip sampah di tempat duduk selepas perlawanan bola sepak Piala FA tamat malam tadi.

KUALA LUMPUR – Perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam menyaksikan Pahang berjaya menewaskan Selangor 2-0.

Namun apa yang menarik perhatian netizen apabila Menteri Belia dan Sukan sendiri mengutip sampah di kawasan tempat duduk penonton selepas tamat perlawanan.

Tindakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu telah menarik perhatian netizen dan perlu dijadikan contoh sikap positif buat rakyat Malaysia agar bertanggungjawab terhadap alam sekitar walaupun di mana berada.

Menyarungkan jersi Harimau Malaya kuning berjalur hitam, Ahli Parlimen Muar itu dilihat mengutip sampah di stadium berkenaan.

Menerusi video yang tular di media sosial, Syed Saddiq membawa plastik hitam besar mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong di tempat duduk seperti bekas minuman dan tisu.

Rata-rata netizen memuji tindakan Syed Saddiq yang mencipta sejarah menjadi menteri paling muda dalam kabinet negara.

Kehadiran Syed Saddiq di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan sekadar untuk mengutip sampah semata-mata tetapi turut bersama puluhan ribu penyokong bola sepak bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dan Pahang.

Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga hasil Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23 dan dihadiahkan penalti pada minit ke-61 selepas pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz menjatuhkan Agustine Iwuji sebelum Patrick Cruz tenang menyempurnakannya. – MalaysiaGazette