KUALA LUMPUR – Pemantau Malaysia Baru hari ini mencabar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengambil tindakan mahkamah jika dakwaan pembekuan akaun keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berasas.
Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau curiga terhadap kenyataan SPRM sebelum ini yang menafi membekukan akaun cucu Najib iaitu Adam Razak.
“Dia cabar kita untuk saman, saya rasa bazir masa saja saman orang macam ini, sebab apa hari ini kita tahu kerajaan Malaysia mengamalkan law of the jungle bukan rule of law.
“Saya nak tunjuk bukti bahawa pihak SPRM ini memang banyak menipu, ini bukti yang jelas bahawa akaun Nooryana Najwa dan anaknya iaitu Adam Razak telah dibekukan oleh pihak SPRM.
“Saya cabar dia saman saya balik kalau tak betul (dakwaan beku akaun),” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mohd Shukri semalam yang mencabar Lokman menyaman beliau berhubung dakwaan pembekuan akaun cucu bekas perdana menteri itu merupakan arahan beliau sendiri.
Lokman membuat laporan polis ke atas Mohd Shukri dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu susulan penafian SPRM berhubung pembekuan akaun milik keluarga bekas Perdana Menteri.
Laporan itu dibuat secara berasingan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Lokman juga menyifatkan SPRM dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak faham prosedur untuk membekukan akaun cucu Najib susulan mereka tidak mempunyai asas kukuh terhadap salah laku pemilik akaun bank terlibat.
“Untuk membekukan akaun, pemunya akaun itu mesti terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang salah seperti penggubahan wang haram atau terlibat dalam aktiviti keganasan atau terlibat dalam aktiviti haram seperti kongsi gelap dan sebagainya.
“Jangan kata Adam Razak terlibat dengan Al-Qaeda ataupun kongsi gelap. Sepatutnya kalau SPRM nak bekukan akaun seseorang itu, dia sudah menjalankan siasatan yang terperinci dan mengenal pasti bahawa seseorang itu terlibat,” tegasnya.
Beliau berkata lagi, Shukri juga dicabar untuk menafikan tindakan beliau membuat tangkapan ke atas bekas Perdana Menteri pada Khamis lalu sedangkan beliau belum mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu ketika itu.
“Dia baru saja angkat sumpah tapi dia sudah tapi sudah menjalankan tugas sebagai salah satu daripada empat orang pasukan petugas khas.
“Dia tangkap Datuk Seri Najib Tun Razak saya nak beritahu Pasukan Petugas Khas ini tiada kuasa untuk menangkap.
“Sebab itu Datuk Seri Najib sekarang ini saman balik. Saya cabar dia balik, kalau tak betul kenyataan saya bahawa negara ini mengamalkan rules of the jungle dan bukan rules of law,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















