KUALA LUMPUR, 10 Julai -- Peninju lagenda Filipina Manny Pacquiao menunjukkan aksi bersahaja kepada para penyokong yang menunggu ketibaannya tiba di salah sebuah hotel terkemuka Kuala Lumpur hari ini. Pacquiao akan berdepan Juara bertahan kategori Welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO), Lucas Matthysse pada 15 Julai ini pada pertarungan 'Fight of Champions' di Axiata Arena, Bukit Jalil. Harga tiket bagi menyaksikan pertarungan antara 'Pacman' yang akan dicabar peninju kelahiran Argentina, Matthysse dan lagenda Filipina, Pacquiao bagi merebut gelaran Welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) itu adalah RM488 hingga RM19,888 dan boleh didapati di mytickets.asia. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Kehadiran seluruh anggota keluarga di Kuala Lumpur memberikan legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao kekuatan dan keyakinan apabila bertarung menentang juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Lucas Matthysse hujung minggu ini.

Senator Filipina itu akan berusaha merampas gelaran daripada peninju profesional Argentina tersebut yang akan mempertahankan kejuaraan berkenaan pada pertarungan yang dinanti-nantikan di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, Ahad ini.

“Saya gembira dapat bertemu peminat di sini, namun perkara lebih penting keluarga saya berada di Malaysia untuk memberi sokongan kepada saya.”

“Ia juga memberi kelebihan kepada saya dengan kehadiran lebih ramai penonton menyaksikan pertarungan itu, tetapi saya tidak akan mengambil mudah. Saya harus memastikan saya memberi tumpuan 100 peratus dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Pacquiao mengakui bahawa beliau adalah individu yang berfikiran positif dan sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap pertarungan, dan perkataan ‘kalah’ tidak pernah terlintas dalam mindanya.

Pacquiao yang juga dikenali sebagai ‘Pacman’, 39, merupakan satu-satunya juara dunia bagi kesemua lapan divisyen dengan mencatat 59 kemenangan (38 knock-out), tujuh kekalahan dan dua seri dalam kariernya.- BERNAMA