Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalam dengan perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia pada Mesyuarat Agung Tahuanan koperasi itu di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 JULAI 2018.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalam dengan perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia pada Mesyuarat Agung Tahuanan koperasi itu di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 JULAI 2018.

KUALA LUMPIUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan ahli perniagaan sangat dikehendaki, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah menerima isyarat daripada Macau.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah menulis surat secara rasmi kepada pihak berkuasa Macau untuk menangkap Jho Low yang disyaki melarikan diri ke negara tersebut.

“Kami telah menulis surat secara rasmi kepada polis Macau untuk pengesahan mengenai gerak geri Jho Low di sana.

“Kalau dia kata Jho Low sah ada di Macau, maka kita akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita tunggu surat balas Macau, setelah terima baru kami akan hantar pasukan kami untuk tangkap individu dikehendaki itu,” kata beliau dalam sidang media di ibu negara.

Beliau berkata ketika diminta mengulas laporan media Hong Kong yang mendakwa Jho Low berjaya melarikan diri dari Hong Kong ke Macau selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Polis DiRaja Malaysia (KPDM) ke-83 hari ini.

Katanya, PDRM sebelum ini telah menghantar pasukan ke Hong Kong untuk membawa balik Jho Low selepas disahkan berada di situ.

“Malangnya, apabila sampai di sana, kami dimaklumkan bahawa dia (Jho Low) sudah lari ke Macau dengan menaiki ferinya.

“Sebab itu kita sudah meminta polis Macau membantu kami dalam perkara ini, cuma ketika ini belum menerima sebarang maklum balas lagi,” tegas beliau sambil mengesahkan sebanyak 7 negara telah ditagih kerjasama dalam usaha menjejaki dan menangkap Jho Low.

Sementara itu, Mohamad Fuzi mengesahkan polis bersedia mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini didakwa bersembunyi di United Kingdom.

“Saya menerima maklumat sah Musa Aman ada di UK. Tunggu dia balik ke sini kita akan ambil tindakan undang-undang.

“Kita tunggu respon rakan kami (Polis UK) di sana, PDRM belum menghantar pasukan UK untuk tangkap Musa Aman,” jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette