Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap pada sesi sidang media selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia di Dewan Bankuet, Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raya Muda, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor belum membuat permohonan menuntut semula barangan kemas yang dirampas polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kini terpulang kepada Rosmah untuk membuat rayuan kepada mahkamah bagi mendapatkan semula barangan tersebut

“Terpulang kepada dia (jika nak rayu-mahkamah).

“Perkara ini bukan mudah kerana ia berkaitan dengan kes siasatan 1MDB. Kita juga telah semak setiap hari mengenai perkembangan kes berkaitan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang tukang emas borong Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah pada bulan lalu atas pengiriman 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dan dirampas oleh polis pada Mei.

Dalam dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Global Royalty Trading SAL memfailkan samandi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Firma itu juga memohon perintah mandatori supaya barangan berkenaan dikembalikan atau secara alternatif, jika ia tidak dapat dipulangkan, Rosmah wajar membayar jumlah yang dinyatakan berdasarkan nilai barangan kemas tersebut.

Pada Mei lalu, polis menyerbu dan merampas wang tunai dan barangan kemas dari dua unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Sementara itu,  Mohamad Fuzi berkata, polis mengambil pendirian tunggu dan lihat dalam kes saman pemula oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Katanya, polis tidak kisah dan membiarkan Ahli Parlimen Pekan itu bercakap apa sahaja yang dirasakan betul dalam perkara itu.

“Kita tunggu dan lihat sahaja dan akan memberi maklum balas berhubung perkara itu kelak,” katanya.

Najib berkata, serbuan dan rampasan yang dilakukan pasukan polis diketuai Amar Singh di enam premis yang dikaitkan dengan beliau dan anaknya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mematuhi Prosedur Standard Operasi yang ditetapkan polis.

Mohamad Fuzi berkata, itu hanya dakwaan Najib.

“Itu dia yang cakap.. macam-macam dia boleh cakap..biar dia nak cakap apa pun, kita perlulah mengikut proses undang-undang yang ditetapkan. kita tunggu dan lihat sahaja,” tegasnya.

Sebelum ini Najib yang juga bekas Menteri Kewangan telah memfailkan saman pemula terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Saman pemula sebelah pihak (ex-parte) itu difailkan Najib selaku pemohon bagi menuntut deklarasi bahawa pembabitan ketiga-tiga mereka dalam penyiasatan 1MDB adalah bersifat prejudis terhadap beliau serta tidak sah. – MalaysiaGazette