FGV

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) meminta badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili peneroka Felda, ANAK untuk menghubungi syarikat tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut selepas membuat kenyataan yang tidak benar dan menyalahi fakta.

Menurut syarikat peladangan sawit terbesar negara itu, kenyataan yang dibuat oleh ANAK pada 29 Jun lalu dalam sebuah video yang disiarkan di YouTube tidak benar dan telah menyebabkan banyak salah faham kerana ianya melibatkan transaksi berbeza yang berlaku pada masa yang berlainan.

Dalam video itu, NGO tersebut berkata, FGV Holdings memperoleh 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings Berhad (FHB) daripada Koperasi Permodalan Felda (KPF) pada harga RM2.2 bilion dan telah membayar RM6 bilion kepada Felda bagi memiliki baki 49 peratus kepentingan dalam FHB.

“Kenyataan ini tidak benar,” tegas FGV dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut FGV, sebelum penyenaraiannya pada tahun 2012, FGV adalah anak syarikat milik penuh FELDA manakala, FHB dimiliki bersama oleh Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dengan masing-masing memegang sebanyak 49 peratus dan 51 peratus kepentingan.

Pada tahun 2009, sebagai sebahagian daripada aktiviti penstrukturan dalaman, FGV telah mengambil alih 49 peratus kepentingan yang dipegang Felda di FHB secara tunai dengan nilai RM1.57 bilion.

Pada 2013, selepas penyenaraiannya, FGV mengambil alih baki 51 peratus kepentingan dalam FHB yang dipegang KPF secara tunai dengan nilai RM2.2 bilion.

Berikutan penyenaraian FGV pada 2012, Felda mengumpul RM5.5 bilion sebagai sebahagian daripada tawaran untuk menjual saham dalam FGV.

“Semua urus niaga yang diterangkan di atas dipantau oleh penasihat bebas dan diluluskan oleh Lembaga dan pemegang saham FGV, KPF dan FELDA.

Selain itu, semua transaksi yang dinyatakan di atas adalah wajar dan didedahkan secara terbuka. FGV menghormati dan menyokong pandangan bebas yang berdasarkan fakta. Oleh itu, sila hubungi kami untuk sebarang penjelasan lanjut,” katanya lagi. -MalaysiaGazette