Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho

BEIJING – Seorang pegawai China menafikan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, yang disiasat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan melarikan diri dari Macau berada di negara itu.

Terdahulu sumber berkata, Low, 37, berada di China setelah meninggalkan bekas tanah jajahan Portugis itu sama ada dengan menaiki kereta ataupun pesawat peribadi.

Sebelum ini beliau meninggalkan Hong Kong ketika berhadapan dengan waran penahanan Interpol.

Bagaimanapun, pegawai itu yang biasa dengan kes tersebut menafikannya.

“Dia tidak berada di China, sebarang dakwaan beliau bersembunyi di tanah besar adalah tidak bertanggungjawab,” katanya seperti dipetik South China Morning Post.

Agensi penguatkuasa di beberapa buah negara mendakwa ahli pernigaan yang lebih dikenali dengan panggilan Jho Low itu melakukan rasuah, sogokan dan pengubahan wang haram yang membabitkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak beruasa itu telah menerima e-mel dari Macau pada 9 Julai lalu memaklumkan Jho Low telah meninggalkan negara itu.

“e-mel itu tidak menyatakan bila Low meninggalkan Macau. Adalah sukar untuk mengesannya kerana beliau dipercayai menggunakan pelbagai pasport,” katanya.

Sumber keselamatan di Macau memberitahu South China Morning Post bahawa kenyataan rasmi kerajan adalah ‘tanpa keraguan’ Low berada di Macau.

Perdana Menteri Malaysia yang baharu dilantik, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka melawat China pada bulan depan bagi membincangkan pelaburan China dan Malaysia.

Sementara itu, The Straits Times melaporkan pihak berKuasa Singapura telah memohon bantuan Hong Kong untuk menahan Low pada 2016 namun permohonan itu ditolak.

“Permintaan Singapura telah ditolak,” kata satu kenyataan polis. – Agensi