Dr. Tan Seng Giaw

KUALA LUMPUR – Apa pun keputusan kerajaan berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), janganlah melanggar Perlembagaan dan sistem pendidikan kebangsaan.

Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw mengakui isu UEC memang rumit, lantaran itu ia telah diperdebatkan sejak berdekad-dekad lamanya.

Dalam hal itu, katanya, banyak perkara perlu diberi pertimbangan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, sistem pendidikan dan perpaduan.

“Saya akui perkara ini (UEC) sudah bertahun-tahun dibincangkan, bukan sehari, bukan sebulan, bukan setahun tetapi berdekad-dekad lamanya. Ia sukar kerana dipolitikkan.

“Apabila perkara ini dipolitikkan memang sukar hendak berbincang, akibatnya benda baik pun nampak buruk,” katanya yang enggan menyatakan pendirian beliau secara jelas berhubung isu ini.

Jelas beliau, dalam menangani isu ini, bukan siapa yang menang atau siapa, siapa yang kalah.

Yang lebih penting dan utama adalah memastikan  keamanan, kestabilan dan perpaduan terus dipelihara.

Walau apa pun keputusan, saya berharap semua pihak menghormati Perlembagaan dan hormatilah sistem,” tambahnya.

Jelas beliau, semua rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana negara ini membenarkan setiap warga negaranya mempelajari bahasa lain, selain bahasa Melayu.

“Meskipun ada perkara yang kita tidak fahami iaitu mengapa ada negara lain membenarkan sesuatu sistem berada dalam sistem pendidikan mereka dan bukan di negara ini, kita perlu akur dengan keputusan yang dibuat.

“Kalau berlaku perubahan, harapnya perubahan berkenaan untuk sesuatu kebaikan dan bukan sebaliknya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette