Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memandang serius provokasi penonton Indonesia ke atas pasukan Malaysia setelah tamat perlawanan separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa insiden itu tercetus ekoran rasa tidak puas hati penonton dengan kekalahan pasukan Indonesia terhadap Malaysia.

Katanya, insiden itu menyebabkan pasukan Malaysia lewat hampir satu jam untuk keluar dari stadium dan terpaksa diiringi polis.

“Malaysia amat menghargai usaha pihak berkuasa Indonesia yang dengan tangkas dan cekap,mengawal keadaan dengan berkesan serta melindungi pemain-pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.

“Walau bagaimanapun, Malaysia juga melihat perkara ini sebagai satu perkara yang serius kerana keselamatan dan kesejahteraan para atlet sentiasa menjadi keutamaan pada bila-bila dan di mana jua mereka berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berikutan insiden tersebut Indonesia berjanji akan meningkatkan keselamatan pada perlawanan akhir dan tindakan akan diambil ke atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. – MalaysiaGazette