KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengingatkan orang ramai menjelaskan caj penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan perumahan berstara tidak terjejas.
Pengarah Eksekutif Perancangannya, Datuk Mohd Najib Mohamad berkata, caj penyelenggaraan itu merupakan ‘tabung’ kepada JMB untuk memastikan perumahan strata sentiasa terurus dan diselenggara dengan baik.
“DBKL ingin tegaskan bila penduduk masuk ke rumah berstatus strata, setiap bulan mereka kena bayar caj penyelenggaraan dalam 20 sen sekaki. Bayaran caj penyelenggaraan perlu ditekankan kepada pemilik baharu unit berstrata ini.
“Jadi kita harapkan pemilik-pemilik juga bersama-sama dengan JMB untuk buat bayaran dan menjaga harta bersama. Kita menjangkakan berlaku kejutan budaya.
“Dulu duduk rumah teres tak ada bayar apa-apa, sekarang bila duduk rumah strata, ada caj selenggara setiap bulan yang disumbang dan diguna bersama dengan JMB untuk kebaikan keseluruhan pemilik-pemilik harta berstrata,” katanya yang ditemui selepas melawat Rumah Mampu Milik Residensi Hijauan Lumayan, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Danau Lumayan Sdn Bhd, Datuk Seri Shaheen Habib dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.
Beliau juga memuji pemaju projek rumah mampu milik itu yang berjaya menyiapkan perumahan berstrata itu lapan bulan lebih awal dari jadual yang ditetapkan iaitu Februari 2019.
“Danau Lumayan berjaya menyiapkan sebelum tarikh sepatutnya siap atau 8 bulan lebih awal dan Dana Lumayan ini satu-satunya pemaju Bumiputera.
“Kita sedang bekerja dengan Dana Lumayan di Bandar Tun Razak, Kita harap kualiti dan standard yang diberikan sekarang ini di kawasan ini menepati dengan apa yang kita sudah tengok sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata lagi, jalan baharu yang diluluskan untuk Residensi Hijauan Lumayan bagi menyuraikan kesesakan trafik di kawasan itu akan diteruskan sebelum akhir tahun ini.
“Berkenaan dengan jalan yang akan kita bina itu, ia sedang berjalan dalam lapan hingga sembilan bulan insya-Allah akan siap dan dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas di sini.
“Saya mengucapkan terima kasih kasih kepada penduduk di kawasan ini yang telah banyak bersabar sepanjang projek ini berjalan kerana pastinya akan terganggu urusan harian kita dan ada masalah dengan pembangunan baharu.
“Dengan kesabaran penduduk-penduduk di sini, projek ini dapat diteruskan dengan baik dan kita harapkan ada perbincangan antara pemaju dengan penduduk itu merupakan satu wadah untuk pembangunan yang akan datang,” katanya lagi – MalaysiaGazette
















