KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) bersama Gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menaruh harapan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk campur tangan membatalkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Gesaan dan desakan itu dibuat sehingga memerlukan campur tangan Perdana Menteri berikutan Kementerian Pendidikan masih tidak berganjak daripada keputusannya untuk mengiktiraf sijil berkenaan.
Menurut Ketua Eksekutif Mappim, Mohd Zai Mustafa, gesaan itu selaras dengan pendirian Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun yang lalu, begitu tegas menolak tuntutan Pertubuhan Sekolah Cina Dong Zong yang mahu mengiktiraf UEC.
“Maka sangat wajar beliau sebagai Perdana Menteri kali kedua yang memimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) mestilah menjadi kerajaan yang prihatin mendengar keresahan rakyat yang menolak UEC dalam kerangka sistem pendidikan kebangsaan.
“Mappim dan Gabungan 300 NGO Gerakan Pembela Ummah menegaskan, UEC tidak perlu diiktiraf ke dalam kerangka sistem pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Jelas Mohd Zai, pihaknya tetap bertegas akan mengerakkan himpunan bantahan besar-besaran kebangkitan rakyat untuk menolak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sekiranya beliau gagal membatalkan pengiktirafan UEC dalam masa tujuh hari.
Perdana Menteri juga katanya, digesa mengambilalih sementara jawatan Menteri Pendidikan kerana Dr Maslee dilihat tidak konsisten, berdolak dalih dan berbelit-belit dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menyalahkan pula pihak media.
“Beliau dilihat tidak bersedia dan meyakinkan untuk menerajui Kementerian Pendidikan. Tindakan beliau ini telah menjejaskan kredibiliti dan imej kementerian yang sepatutnya berintegriti tinggi dalam membuat sesuatu kenyataan penting berkaitan polisi pendidikan di negara ini, kerana ia akan memberi implikasi yang besar kepada kerajaan keseluruhannya,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, UEC adalah perkara besar melibatkan polisi pendidikan masa depan negara, juga melibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi pendidikan negara, selain aspek lain berkaitan UEC yang tidak sepatutnya diiktiraf dalam kerangka sistem pendidikan negara.
“Sehingga kini sokongan kepada bantahan UEC terus melonjak, Page Gerakan Pembela Ummah terus meningkat kepada 83,000 pelawat,” katanya. – MalaysiaGazette
















