Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Persepsi bahawa kemenangan yang diraih Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang lalu bermaksud penangguhan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan berkuatkuasa dalam masa sehari perlu diubah.

Sebaliknya kata Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, janji yang terkandung di dalam manifesto PH itu memakan masa untuk dilaksanakan kerana beberapa prosedur perlu dipatuhi. 

“Jangkaan bahwa kita menang 9 Mei lalu dan terus tak bayar, itu harus dibetulkan. Kita kena ada proses yang betul,” katanya dalam sidang media PTPTN hari ini. 

Menurut Wan Saiful, sehingga kini tiada jangkaan bila penangguhan pembayaran semula pinjaman tersebut bakal berkuatkuasa 

“Penangguhan mungkin berlaku 1 September,  mungkin 1 Oktober. Tarikh tepat bila kita akan mulakan penangguhan saya sebenarnya tidak boleh berikan sekarang. 

“Ia berdasarkan informasi yang kita dapat daripada permohonan (permohonan penangguhan dari kemas kini maklumat)  dan kita kena ambil pertimbangan lain. 

“Mungkin tahun depan mungin minggu depan,” tambahnya. 

Sehubungan dengan itu, menurut Wan Saiful,  peminjam PTPTN masih perlu membayar balik hutang selagi tidak ada pengumuman pelaksanaan penangguhan dibuat. 

“Selagi mana kita tak umumkan bahawa penangguhan telah bermula, selagi itulah mereka perlu bayar. 

“Beginilah senang kalau tak terima surat daripada kita memaklumkan peminjam tak perlu bayar lagi, selagi itulah mereka perlu bayar,” tambahnya. -MalaysiaGazette