Kapal Equanimity yang dikaitkan dengan Jho Low. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa Indonesia merampas semula kapal Equanimity yang dikaitkan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan individu paling dikehendaki, Jho Low.

Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) melalui fail mahkamah.

Tindakan itu dibuat selepas kapal yang pernah disita pada bulan Februari lalu diisytiharkan terbatal dan tidak sah dengan alasan teknikal.

Menurut laporan Portal MalaysiaKini, kes itu difailkan untuk memberitahu mahkamah bahawa waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 16 Jun tahun lalu telah dilaksanakan.

“Pada 9 Julai 2018, pihak berkuasa Indonesia telah melaksanakan proses itu dengan menahan Equanimity dengan satu salinan waran penahanan kapal berkenaan.

“Semasa penahanan dibuat pihak berkuasa Indonesia menyerahkan salinan waran tangkap dalam kapal layar itu dan menyerahkan satu lagi salinan waran penahanan kapal kepada kapten Equanimity,” bacaan yang dibuat dalam dokumen yang difailkan oleh Bahagian Kehakiman kepada Mahkamah Daerah Tengah California. Dokumen itu dilihat oleh portal tersebut.

Dokumen yang difailkan oleh mahkamah itu termasuk gambar waran yang disampaikan oleh polis Indonesia di atas Equanimity dengan mengatakan bahawa bantuan perundangan antara satu sama lain (MLA) kepada Kementerian Perundangan dan Hak Asasi Manusia Indonesia sudah disampaikan oleh Jabatan Perundangan Hubungan Antarabangsa pada 19 April dan telah dijalankan pada 9 Julai.

Laporan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) itu menyebut, polis Indonesia telah mengiringi kapten kapal layar itu pada waktu waran tangkap disampaikan.

“Polis Indonesia percaya pemilik kapal layar itu akan mewakilkan peguam,” kata laporan tersebut.

Bagaimanapun, perincian bagaimana rampasan kapal dibuat, keadaan anak-anak kapal dan tindakan undang-undang untuk penjagaan kapal itu tidak dinyatakan dengan jelas.

Saman pelucutan sivil terhadap kapal yang bernilai AS$ 250 juta itu telah diserahkan oleh DOJ pada Jun lalu sebagai sebahagian daripada pelupusan sivil untuk merampas aset yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB yang disalurkan menerusi sistem kewangan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette