Nekad mencabar diri sendiri dan inisiatif mencari pendapatan tambahan mendorong golongan yang bermasalah pendengaran dan pekak untuk memberanikan diri mereka menjadi pemandu Grab.
Nekad mencabar diri sendiri dan inisiatif mencari pendapatan tambahan mendorong golongan yang bermasalah pendengaran dan pekak untuk memberanikan diri mereka menjadi pemandu Grab.

PULAU PINANG – Seorang pemandu Grab lelaki berdepan detik mengerikan selepas bukan sahaja dirompak penumpangnya, malah turut dibogelkan dan diambil gambar selain diugut suspek.

Kejadian itu berlaku awal pagi Sabtu lalu ketika mangsa yang juga seorang guru dalam perjalanan menghantar seorang penumpang lelaki ke Plaza Gurney di sini kira-kira pukul 2.30 pagi.

Bagaimanapun, sebelum tiba di lokasi berkenaan, penumpang terbabit meminta mangsa menghantar ke lokasi lain iaitu di sebuah tempat cuci kenderaan di Jalan Seri Tanjong Pinang tanpa menyedari dua lagi rakan suspek sedang menunggu.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, rakan suspek mendekati mangsa dan menunjukkan kad kuasa dengan mendakwa kononnya anggota polis sebelum merampas kunci kereta dan menggeledah kereta mangsa.

Suspek kemudian merampas telefon bimbit serta dompet dan mangsa juga diugut akan diambil tindakan kononnya bekerja sebagai ejen pelacuran.

Suspek juga didakwa mengugut mangsa untuk menyerahkan wang sebanyak RM3,000, namun ditolak mangsa menyebabkan suspek membogelkannya dan gambarnya dirakam menggunakan telefon bimbit.

Penderitaan mangsa tidak berakhir disitu selepas suspek dikatakan memaksa mangsa mengeluarkan wang tunai sebanyak RM500 yang kemudiannya digunakan suspek untuk bermain mesin kuda.

Mangsa yang turut diugut supaya tidak membuat laporan polis sekiranya tidak mahu nyawa keluarganya terancam bagaimanapun membuat laporan di Balai Polis Batu Feringghi kira-kira pukul 10.26 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan menjelaskan kes itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pemerasan atau mengugut.

“Setakat ini, seorang suspek sudah berjaya ditahan pagi ini dan kita sedang memburu dua lagi suspek dan yakin mereka akan berjaya ditahan dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette