Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kenyataan UMNO bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bakal membebankan rakyat adalah tidak masuk akal malah cuba mengelirukan rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tidak semua barangan akan dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus, sebaliknya hanya kepada produk tertentu yang dikilangkan dan diimport dan ia  berbeza dengan GST yang dikenakan pada pengguna.

Malah, tambahnya, tidak semua perkhidmatan akan dikenakan cukai seperti yang berlaku pada pelaksanaan GST sebelum ini.

“Cukai jualan (sales tax) pada kadar 5 peratus dan 10 peratus dikenakan ke atas produk dikilangkan dan produk yang diimport yang tertentu, dan bukan ke atas semua produk yang telah diproses, seperti yang diamalkan dalam sistem cukai GST.

“Cukai perkhidmatan (service tax) pada kadar 6%  peratus dikenakan ke atas perkhidmatan yang tertentu sahaja, dan bukan semua jenis perkhidmatan, seperti yang diamalkan dalam sistem cukai GST.

Selain itu, jelas beliau, cukai jualan (sales tax) dikenakan ke atas harga kilang dan harga import manakala GST dikenakan ke atas harga peringkat akhir yang dibayar pengguna.

Justeru beliau berkata, kenyataan yang disebarkan oleh UMNO bahawa sistem SST adalah lebih membebankan rakyat berbanding sistem GST adalah tidak masuk akal sama sekali.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, rakyat bimbang dan curiga dengan SST yang dijangka bakal dilaksanakan pada 1 September ini kerana harga barang akan meningkat.

Kerajaan akan membentangkan akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan di Parlimen bulan depan dengan mencadangkan pelaksanaan 10 peratus untuk cukai jualan dan enam peratus bagi cukai perkhidmatan.

“Menurut kenyataan mereka (UMNO), kenyataan saya bahawa kadar cukai jualan di bawah sistem cukai SST sejumlah 10 peratus dan kadar cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus, bermakna jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding kadar cukai GST 6 peratus.

“Ini adalah tidak benar dan amat mengelirukan, kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menambah peratusan cukai jualan (sales tax) dan cukai perkhidmatan (services tax),” katanya menerusi kenyataan media. – MalaysiaGazette