Keadaan bangkai-bangkai pesawat MH17 yang bertaburan dan manjadi tumpuan orang ramai semasa tinjauan di lokasi tragedi MH17 terhempas di Ukraine. Krew MalaysiaGazette berada Grovova, Ukraine pada 22 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR – Persidangan hari pertama Dewan Rakyat hari ini  dihentikan selama lima minit selepas 20 minit ia dimulakan Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Ia ekoran permohonan Ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Dewan Rakyat bertafakur selama seminit bagi menghormati tragedi hitam MH17.

“Yang Berhormat Speaker, sebelum itu sempena empat tahun tragedi MH17, saya minta izin agar kita sama-sama bertafakur selama satu minit,” kata beliau.

Ahmad Zahid membuat permohonan itu sebelum memulakan pertanyaan lisan kedua  kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR).

Semalam, genap empat tahun episod hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu semua 298 orang penumpang dan anak kapal terkorban.

Daripada jumlah korban itu, seramai 43 orang adalah rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette