Kenaikan harga barangan dijangka dirasai dengan ketara pada bulan depan susulan pelaksanaan kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial dan penyusutan mata wang ringgit.
Harga barangan pengguna didakwa tidak turun dengan penghapusan GST. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Indeks Harga Pengguna (IHP) jatuh kepada 0.8 peratus pada Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Jabatan Statistik, prestasi itu didorong oleh penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tawaran diskaun oleh peruncit serta kawalan harga oleh kerajaan sempena musim perayaan.

Ini merupakan kali pertama inflasi Malaysia turun di bawah 1 peratus dalam tempoh 40 bulan.

Bagi perbandingan bulanan, IHP jatuh 1.2 peratus berbanding Mei 2018 disebabkan penurunan dalam semua kumpulan utama seperti barangan pelbagai dan perkhidmatan (-3.1 peratus), komunikasi (-3.0 peratus), rekreasi dan perkhidmatan budaya (-2.9 peratus), pakaian dan kasut (-2.6 peratus), perabot, peralatan isi rumah dan rutin penyelenggaraan isi rumah (-2.4 peratus) dan makanan dan minuman bukan beralkohol (-1 peratus).

“Kesan ini adalah disebabkan kadar sifar GST bermula Jun sehingga Ogos. Faktor lain yang menyumbang adalah tawaran harga diskau sempena perayaan Aidilfitri, Hari Gawai Dayak, Gaya Guru Gerai Nyamai dan pelaksanaan Skim Kawalan Harga kepada 22 barangan terpilih sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Inflasi teras bagaimanapun mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus pada Jun berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan peningkatan harga rumah, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.4 peratus); makanan dan minuman bukan beralkohol (+1 peratus) dan pendidikan (+0.9 peratus).-MalaysiaGazette