Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) perlu belajar lagi untuk menjadi kerajaan dan jangan terbawa-bawa sikap pembangkang.

“Saya rasa mereka perlu belajar lagi untuk jadi kerajaan dalam melaksanakan aturan mesyuarat (dalam Dewan Rakyat).

“(Ahli Parlimen) mereka patut belajar lagi, jangan terus menyampuk,” katanya kepada media selepas selesai sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai tindakan R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) yang sering mencelah semasa beliau membuat ucapan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V semalam.

Sanisvara sering kali menyampuk ucapan Ahmad Zahid dengan bertanyakan mengenai status hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini terpaksa ditanggung kerajaan PH.

Justeru bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, PH seharusnya bertindak sebagai pembangkang kerana mereka telah memenangi Putrajaya.

“Mereka bukan lagi pembangkang, mereka kerajaan sekarang kena berlagak seperti kerajaan,” katanya lagi.

Ahmad Zahid akan menyambung semula ucapan perbahasan titah Diraja dalam sidang Dewan Rakyat yang bersambung esok. -MalaysiaGazette