Chew (tiga dari kiri) dan Dr. Juliyana (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan MBOR sambil disaksikan Chee Yee (dua dari kiri) di pasar raya Cat Supermarket di Paya Rumput, Melaka.

MELAKA – Peruncit produk kucing terbesar di Malaysia, Cat Supermarket dianugerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya memandulkan atau mengembiri 202 kucing secara percuma dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Urusan Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong berkata, program tanggungjawab sosial korpoart (CSR) itu bertujuan menangani masalah kucing terbiar selain mengurangkan bebanan pusat perlindungan haiwan.

“Seperti yang dilihat, banyak kucing-kucing terbiar di kaki lima, pasar atau tempat-tempat awam lain termasuk juga mengurangkan beban penyelamat kucing dan pusat perlindungan haiwan.

“Kos untuk kembiri dan ubatan lain bagi seekor kucing jantan adalah RM200 menjadikan nilai keseluruhan yang dimanfaatkan pemilik kucing pada program CSR ini adalah sekitar RM40,400,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima sijil pengiktirafan MBOR di Cat Supermarket di Paya Rumput, di sini, semalam.


Chew (kiri) bersama kucing yang terdapat di Cat Supermarket di Paya Rumput, Melaka semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Program berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan jenama makanan haiwan antarabangsa, Brit Malaysia dan pasukan veterinar dari CS Vet Medical Centre.

Sementara itu Dr. Juliyana Abu Sari berkata, proses pemandulan dilakukan secara berperingkat selepas ujian saringan kesihatan kucing dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Susulan itu, hari ini (semalam) sebanyak 202 kucing jantan telah dikembiri dalam tempoh 24 jam oleh lima doktor veterinar dan tujuh pembantu prosedur.

“Ia melibatkan 60 ekor kucing dari tiga pusat perlindungan haiwan manakala bakinya adalah kucing jalanan yang diselamatkan dan haiwan peliharaan individu,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast