Beberapa pengunjung memilih barang-barang keperluan asas di Lulu Hypermarket, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2018.
Beberapa pengunjung memilih barang-barang keperluan asas di Lulu Hypermarket, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mencari jalan keluar dalam memastikan rungutan rakyat mengenai kos sara hidup dapat diselesaikan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution, satu jawatankuasa khas akan dibentuk dalam mencari jalan strategik ke arah menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya beri makluman kepada Jemaah Menteri semalam untuk penubuhan jawatankuasa di peringkat Kabinet untuk mengumpulkan beberapa kementerian khususnya bagi mengumpul beberapa strategi yang komprehensif dalam mencari jalan ke arah melegakan desakan kos sara hidup tinggi yang dialami oleh rakyat.

“Ini kerana KPDNHEP tidak boleh bertindak sendirian kerana isu peningkatan kos sara hidup rakyat ini bukan hanya isu makanan dan minuman tetapi juga ianya berkenaan harga rumah, kos pengangkutan, kesihatan pendidikan,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Ujarnya, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Pengeruis Jawatankuasa Khas ini.

Malah katanya, jawatankuasa ini akan mengumpulkan beberapa kementerian khususnya bagi mengumpul beberapa strategi yang komprehensif dalam mencari jalan ke arah melegakan desakan kos sara hidup tinggi yang dialami oleh rakyat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi tempoh setahun bermula 1 September kepada kerajaan PH untuk mengurangkan kos sara hidup dan menurunkan harga barang.

BN katanya, memberi masa sehingga setahun selepas 100 hari dari tempoh manifesto PH sama ada harga barang dan kos sara hidup rakyat dapat diturunkan seperti janji mereka sebelum PRU14.

“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Pembangkang, dan saya ikuti ucapan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Jawatankuasa di peringkat Kabinet akan berbincang dan mencari jalan dan mengumpulkan seluruh kepakaran yang ada untuk merangka jalan keluar. Soal samada satu atau dua tahun itu kita akan bincang di peringkat jawatankuasa,” katanya.

Pada Disember 2015, kerajaan BN menubuhkan jawatankuasa sama bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette