Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mana-mana agama pun meletakkan janji sebagai satu perkara yang amat besar natijahnya sekiranya ia gagal dilaksanakan.

Katanya, meskipun manifesto bukan kitab suci al-Quran, namun pemimpin PH telah melakukan dosa kepada rakyat dan Tuhan apabila janji yang ditabur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gagal ditunaikan selepas membentuk kerajaan.

“Rakyat memberi undi atas janji bulan dan bintang yang dia telah diberikan. Janji ini dari segi kitab suci pun, mana-mana agama pun meletakkan janji ini sebagai satu perkara yang amat besar natijahnya sekiranya kita tidak dilunaskan.

“Dari segi Islam, orang yang tidak melunaskan janji ini dianggap sebagai munafik dan dosanya amat besar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda UMNO, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bergambar kenangan selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Ketua Pemuda UMNO di Menara Dato Onn PWTC, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JULAI 2018

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat hari ini yang mengakui Kerajaan PH tidak dapat menunaikan kesemua 10 janji manifesto dalam tempoh 100 hari selepas memenangi PRU14 pada 9 Mei lalu.

Antara 10 janji 100 hari PH ialah menghapuskan hutang peneroka Felda, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

Asyraf Dusuki juga menegaskan, Dr Mahathir Mohamad dan semua pemimpin PH perlu memohon maaf kepada 32 juta rakyat Malaysia kerana memungkiri janji itu merupakan dosa besar.

“Dosa besar atas janji yang tidak tertunai ini, bukan boleh minta ampun daripada Allah, dia harus minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kita minta kerajaan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia kalau benar mereka tidak mampu melunaskan janji mereka.

“Ini kerana Kerajaan BN jatuh kerana janji yang begitu didambakan oleh rakyat dan kita pun seronok kalau janji itu dapat ditunaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette