P. Ramasamy

PULAU PINANG – Polis telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berhubung dakwaan pembabitan beliau dengan kumpulan pelampau Tamil, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perkara itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan yang memaklumkan keterangan Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkenaan diambil kelmarin.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan pihaknya setakat hari ini menerima lebih 10 laporan daripada pelbagai pihak berhubung dakwaan terhadap Ramasamy berkenaan.

“Ramasamy memberi kerjasama baik ketika dipanggil memberi keterangan dan siasatan lanjut berkaitan kes ini akan diteruskan oleh Bukit Aman memandangkan polis turut menerima laporan di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan trafik sukarela di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China, Jalan Gottlieb, di sini hari ini.

Beberapa pihak sebelum ini membuat laporan polis berhubung gambar dan artikel berkaitan Ramasamy yang tular dalam media sosial yang didakwa berkait dengan perjuangan LTTE.

Artikel itu mendedahkan pembabitan Ramasamy yang menyokong LTTE malah terdapat sekeping foto menunjukkan ahli politik itu menyembah lambang AK-47 yang menjadi ritual puak pemberontak berkenaan.

Artikel itu antaranya dimuat naik Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Abdullah dalam Facebooknya sekali gus mengundang perdebatan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette