KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy perlu menjaga mulut mereka agar lain kali tidak celupar dan biadab jika mahu menjaga sensitiviti umat Islam.
Peringatan itu dikeluarkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berikutan keengganan pemimpin kaum India itu menyahut cabaran berdebat dengan pendakwah bebas antarabangsa, Dr Zakir Naik sebagaimana dicadangkan Mufti Perlis, Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah, jika mereka takut Dr Zakir akan menang debat itu, mengapa memberi pelbagai alasan termasuk menuduh penceramah antarabangsa itu terlibat dengan pengubahan wang haram serta aktiviti pengganas?
Pada masa sama, katanya, Waythamoorthy pula ada membuat kenyataan mendakwa, beliau sendiri tiada masalah dengan pendakwah Dr Zakir.
“Kalau tidak ada masalah, kenapa selalu membuat tuduhan liar dan negatif terhadap Dr Zakir sebelum ini, sehingga memaksa kerajaan Malaysia menghantar pulang penceramah itu ke negaranya, India.
“Tambahan pula, beliau yang mengetuai Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) pernah mengadakan perhimpunan haram di beberapa lokasi di sekitar ibu negara tanpa mempedulikan larangan mahkamah dan amaran polis pada 25 November 2007.
“Malah, penyokong kumpulan itu bertindak ganas membaling pelbagai objek termasuk besi, batu, tong sampah dan botol minuman ke arah polis, yang mencederakan sekurang-kurangnya empat anggota pasukan berkuasa, selain merosakkan harta benda awam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Menurut Dr Amini Amir, menteri itu juga pernah menganjurkan perhimpunan haram di Kuala Lumpur bagi mendesak Ratu Elizabeth II membantu menyokong permohonan masyarakat India negara ini yang memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion pound sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain.
“Kumpulan itu mula menimbulkan kekecohan dengan memecah masuk pintu utama kuil Batu Caves dan merosakkan harta benda di situ.
“Apakah personaliti sebegini layak diangkat menjadi menteri yang menjaga hal ehwal perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial?
Dalam konteks Ramasamy pula, kata Dr Amini Amir, Perkasa sekali lagi meminta pihak berkuasa menyiasat kes beliau yang dituduh menyokong kumpulan pengganas Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ujar beliau, siasatan perlu dijalankan walaupun Timbalan Ketua Menteri II itu menafikan dakwaan berkenaan. – MalaysiaGazette
















